Featured Posts

Rabu, 22 Februari 2012

Perbandingan Kad Kredit Islam

Kad kredit digunakan secara meluas oleh pengguna di Malaysia dan kebanyakan kemudahan kad kredit ditawarkan oleh bank-bank komersial. Sebelum ini perbankan Islam diketengahkan, bisnes kad kredit dipelopori oleh bank-bank konvensional. Kini bank-bank Islam telah menawarkan kemudahan sama kepada pelanggan.

Dalam entri lalu, saya menjelaskan bahawa penggunaan yang bijak dan teratur memberi kelebihan kepada pengguna. Malahan pengguna juga boleh mendapat manfaat tambahan daripada penggunaan kad kredit mereka dalam perbelanjaan seharian.

Saya membuat perbandingan diantara 6 buah bank di Malaysia yang menawarkan kemudahan kad kredit dan ciri-cirinya. Ciri-ciri dibawah adalah berdasarkan kad kredit kategori 'Gold' sahaja. Kategori lain mungkin mempunyai manfaat tambahan dan syarat berbeza.

Ciri-ciri kad
1
2
3
4
5
6
Pendapatan minima
N/A
RM40k
N/A
RM36k
RM24k
RM30k
Fi Tahunan
X
RM130
RM70
X
X
X
Kontrak
3 tahun
X
X
X
X
X
Treat/Reward Points
X
/
X
X
X
/
Rebet Petrol
X
X
X
X
2%
X
Rebet Perbelanjaan lain
0.3%
X
X
X
0.5%
X
Takaful Kelompok
/
X
X
/
/
/
Program Ganjaran
X
/
X
X
/
/
Kemudahan ‘instalment’ bulanan tanpa caj
/
/
X
/
X
X
 
  1. Bank Islam Gold Mastercard / Visa
  2. RHB Gold Credit Card-i Visa
  3. Al-Rajhi Bank Charge Card-I Visa
  4. Bank Rakyat Credit Card-I Mastercard
  5. CIMB Islamic PETRONAS Mastercard
  6. Maybank Islamic Ikhwan PETRONAS Visa
Semua maklumat diatas merujuk kepada laman web setiap bank berkenaan. Saya juga mendapati bank-bank Islam yang ditubuhkan oleh bank antarabangsa seperti OCBC Al-Amin dan Saadiq Standard Chartered belum lagi mempunyai kemudahan seperti ini.

Antara ciri-ciri yang menarik perhatian pengguna ialah Program Ganjaran dan juga Rebet. Tidak semua bank menawarkan kelebihan ini. Takaful Berkelompok yang ditawarkan oleh Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank adalah berdasarkan jumlah baki terkumpul maksima sehingga RM100,000. Manakala CIMB Islamic menawarkan Takaful Perjalanan sehingga RM500,000.

Bank Rakyat pula mempunyai Program Ganjaran Tabung Umrah atau Percutian dengan setiap perbelanjaan yang dibuat menggunakan kad kredit-i. Ini adalah program unik yang tidak ditawarkan oleh bank-bank lain.

Al-Rajhi Bank pula tidak mempunyai sebarang program ganjaran, walaupun beberapa terdapat promosi terhad kepada produk atau perkhidmatan tertentu.

Anda boleh memilih perkhidmatan dan jenama yang digemari berdasarkan perbandingan diatas. Sekadar berkongsi, Dr Zaharuddin menjelaskan bahawa penggunaan kad kredit konvensional adalah bertentangan dnegan prinsip Syariah walaupun pengguna tidak membuat bayaran tangguh dan menyelesaikan baki bulanan sebelum tarikh akhir.

Ini bertepatan dengan Syariat yang melarang bantu-membantu dalam urusan haram seperti riba' dan gharar. Walaupun pengguna tidak membayar faedah kerana tiada baki tertunggak, tetapi pengguna sebagai pelanggan seolah menggalakkan bisnes kad kredit konvensional semakin berkembang dan akhirnya terdapat pelanggan lain yang terjebak dan dikenakan faedah sepertimana syarat dan terma kad kredit berkenaan.

Wallahualam.

*Maklumat perbandingan mungkin berbeza sekiranya pihak bank pengeluar membuat promosi tambahan selepas artikel ini dikeluarkan. Sila rujuk bank pengeluar yang berkenaan.

Inginkan Harta Yang Diberkati?

Jumaat, 20 Januari 2012

Kenapa saya perlu tulis Wasiat?

Kalau dahulu tidak ramai yang membincangkan tentang wasiat dan harta pusaka secara terbuka. Ia isu sensitif. Masyarakat Melayu yang mementingkan budaya dan adat terutamanya mempunyai tanggapan bahawa ahli keluarga tidak menghormati orang yang meninggal dunia dan dituduh ingin membolot harta. Statistik harta yang dibekukan semakin meningkat sepertimana dilaporkan pada tahun lalu sebanyak RM42 billion harta orang yang telah meninggal dunia masih lagi belum diagihkan kepada waris. Harta ini termasuk wang tunai, hartanah dan pelbagai jenis harta pusaka.

Pihak kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan waris hadir ke pejabat yang berkaitan untuk menguruskan harta pusaka ahli keluarga mereka. Apa yang berlaku ialah mereka tidak tahu daripada mana hendak bermula dan kurang kerjasama di kalangan waris.

Apa yang boleh kita lakukan supaya fenomena ini dapat diperbaiki? Bagaimana kita hendak memastikan bahawa ahli keluarga mendapat manfaat daripada harta yang dikumpulkan semasa hidup?

Menulis wasiat adalah jalan yang baik. Wasiat ialah suatu dokumen yang mengandungi arahan dan pesanan kepada waris dalam urusan mentadbir harta pusaka si mati. Bagi orang Islam, menulis wasiat amatlah digalakkan. Ia juga amat membantu dan boleh digunakan untuk mendapatkan Geran Probet (Surat Kuasa bagi harta pusaka orang yang menulis wasiat) di Mahkamah Sivil. Ini akan memudahkan waris dan pentadbiran harta pusaka akan lebih teratur.

Inginkan Harta Yang Diberkati? 

Kenapa saya perlu tulis Wasiat?

Orang ramai amat digalakkan menulis wasiat. Persoalan yang selalu diajukan ialah kenapa?

1) Jika saya belum berkahwin, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) harta pusaka saya supaya saya tidak membebankan ibu bapa dan saudara terdekat saya. Saya juga boleh membuat sedekah jariah daripada sebahagian harta pusaka saya.

2) Jika saya telah berkahwin, tetapi belum mempunyai cahayamata, saya perlu menulis wasiat untuk mengelakkan konflik diantara pasangan saya dengan ibu bapa dan ahli keluarga saya yang lain. Proses pentadbiran juga lebih mudah. Di samping itu, saya dapat memastikan semua waris mendapat hak mereka dengan cara yang betul.

3) Jika saya telah berkahwin dan mempunyai anak, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan penjaga untuk anak saya yang masih di bawah umur 18 tahun. Saya boleh mengarahkan penjaga yang bertanggungjawab untuk menggunakan harta pusaka saya yang diwarisi oleh anak dengan sebaik mungkin dan mengelakkan penyelewengan.

4) Jika saya berpoligami, saya perlu menulis wasiat untuk mengelakkan konflik diantara kedua-dua keluarga saya dan melantik pentadbir (Wasi) yang boleh dipercayai untuk mentadbir harta pusaka saya agar hak semua waris saya iaitu isteri-isteri dan anak-anak saya dapat diberikan dengan adil.

5) Jika saya mempunyai anak angkat, saya perlu menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya sepertimana yang dibenarkan Syara’  iaitu tidak melebihi 1/3. Dengan cara ini, kebajikan dan sara hidup anak angkat saya terutamanya mereka yang dibawah umur akan terjaga dan tidak terbiar sahaja.

6) Jika saya tidak mempunyai anak lelaki, saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan mengelakkan konflik di kalangan ahli keluarga saya iaitu pasangan dan anak perempuan saya dengan ahli keluarga yang lain seperti ibu bapa dan saudara kandung saya. Saya juga boleh memastikan hak mereka terjaga dan diuruskan dengan adil.

7) Jika saya berhutang, saya perlu menulis wasiat untuk memastikan hutang saya dijelaskan dengan menggunakan harta pusaka saya terlebih dahulu sebelum diagihkan.

8) Jika saya mempunyai perniagaan, saya perlu menulis wasiat untuk memberi arahan dan panduan kepada waris dan juga rakan kongsi saya berkenaan pengurusan saham dan pemilikan lain dalam perniagaan saya. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan penyelewengan oleh rakan kongsi dan memastikan hak waris saya kepada pegangan di dalam perniagaan adalah terpelihara.

9) Jika saya mempunyai banyak harta, saya perlu menulis wasiat untuk memudahkan agihan harta pusaka kepada waris dengan memberi panduan yang baik selagimana tidak bercanggah dengan Syari’ah. Melalui wasiat juga saya boleh menyenaraikan semua aset dan hutang dan menjelaskan kepada waris bagaimana cara hendak menguruskannya.

10) Jika saya seorang muallaf, saya perlu menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya kepada ahli keluarga yang bukan Islam seperti ibu bapa kandung dan saudara kandung saya. Islam membenarkan Wasiat kepada bukan Islam (iaitu bukan waris) untuk menerima tidak melebihi 1/3 harta pusaka. Islam tidak menghalang hubungan muallaf dengan ahli keluarga malahan menggalakkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Inilah sebab utama penulisan wasiat. Orang yang menulis wasiat ialah orang yang bijak kerana mengingati mati. Apabila kita mengingati mati, maka kita akan membuat perancangan supaya kehidupan kita di dunia ini tidak sia-sia dan apabila mati, tidak pula memberikan beban kepada waris yang masih hidup. Di samping itu juga, kita boleh membuat pelaburan akhirat melalui sedekah jariah dan ini menjadi pencen kubur, kehidupan di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

Rujuk sini, untuk perkhidmatan penulisan wasiat.

Jumaat, 13 Januari 2012

Kadar Caruman KWSP meningkat 1%

Bermula haji Januari 2012, caruman majikan untuk KWSP meningkat sebanyak 1% kepada 13%. Ini bermaksud jumlah caruman keseluruhan ialah 24%. Rujuk sini. Pihak kerajaan mengumumkan kenaikan pada Bajet 2012 yang dibentangkan beberapa bulan lalu. Tujuan utama adalah untuk menambah jumlah tabungan pencarum sebagai persediaan persaraan. Jumlah kenaikan ini melibatkan pekerja yang mempunyai gaji kurang RM5,000 sebulan.

Melalui kajian terdahulu menunjukkan sebanyak 70% persara menghabiskan wang persaraan dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Situasi ini agak membimbangkan kerana kadar inflasi yang meningkat dan tempoh jangka hayat yang lebih panjang. Secara tidak langsung, jumlah tabungan pula hendaklah lebih tinggi untuk menanggung tempoh persaraan lebih daripada 10 tahun.

Secara purata jangka hayat lelaki di Malaysia ialah 71.9 dan wanita pula ialah 77 tahun. Rujuk sini. Sekiranya umur bersara ialah 55 tahun, maka wang simpanan persaraan sepatutnya mencukupi untuk menampung keperluan sara hidup dan perubatan sekurang-kurangnya bagi tempoh 16.9 tahun.

Inginkan Harta Yang Diberkati?

Ini menunjukkan kepentingan untuk menyediakan tabung persaraan seawal yang boleh. Walaupun pihak kerajaan mewajibkan majikan dan pekerja mencarum, tetapi individu sendiri juga perlu membuat tabungan melalui pebagai instrumen yang sesuai seperti simpanan unit amanah, Tabung Haji dan juga simpanan tetap.

Mulakan dengan menyimpan setiap bulan dengan meletakkan sasaran sebanyak 10% daripada gaji bersih disimpan untuk tujuan persaraan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Simpan dengan konsisten supaya anda tidak menghadapi masalah di hari tua anda.

Sabtu, 19 November 2011

Garis panduan kawal kredit oleh BNM

Selepas mengeluarkan peraturan baru pengawalan kad kredit, pihak Bank Negara Malaysia membuat garis panduan untuk pinjaman atau pembiayaan pula. Tujuan garis panduan ini adalah untuk mengawal kadar kredit di pasaran dan melindungi pengguna daripada penyalahgunaan sistem kredit yang longgar.

Antara garis panduan yang disebut ialah:
1) Tempoh pembiayaan sewa beli kenderaan dihadkan kepada sembilan tahun sahaja.
2) Bermula Julai 2012, peminjam tidak boleh dikenakan penalti penyelesaian hutang awal dan pihak bank hanya dibenarkan mengenakan kos pemprosesan dan bukannya untung rugi daripada pinjaman itu.
3) Kadar boleh pinjam untuk penjawat awam ialah 60% manakala bagi lain-lain kategori, ia bergantung kepada pihak bank.
4) Bermula 1 Jan 2012, pihak bank perlu menjelaskan kepada pelanggan tentang kesan kepada bayaran bulanan apabila BLR meningkat dan sebagainya.

Apabila Bank Negara Malaysia mengambil langkah sebegini, ia menunjukkan pihak kerajaan sangat serius dalam menangani isu hutang di kalangan masyarakat yang semakin meningkat. Sebagai individu, kita sendiri hendaklah menilai tahap kemampuan apabila hendak membuat sebarang pinjaman. Hanya membuat pinjaman apabila perlu sahaja seperti pembiayaan kenderaan atau rumah.

Elakkan membuat pinjaman peribadi bagi tujuan keperluan harian atau membeli barangan yang tidak mampu dibeli secara tunai. Pinjaman sebegini akan membebankan dalam jangka masa panjang. Pendapatan tidak akan mencukupi untuk menyelesaikan hutang dan tiada simpanan dibuat untuk tujuan kecemasan apatah lagi persaraan.

Rujuk: The Star, 19 November 2011.

Peraturan baru kad kredit oleh BNM

Bank Negara Malaysia mengeluarkan peraturan baru tentang penggunaan kad kedit. Bermula 1 Januari 2012, mereka yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM36,000 setahun hanya dibenarkan menggunakan maksimum 2 kad kredit sahaja. Manakala jumlah kredit yang dibenarkan ialah 2x gaji bulanan iaitu RM6,000 bagi setiap kad.

Sesiapa yang mempunyai lebih daripada dua kad kredit buat masa ini, hendaklah memilih dua kad sahaja daripada bank pengeluar. Baki kad kredit yang tidak lagi dilanggan hendaklah dibayar dalam tempoh 24 bulan. Syarat ini dikenakan untuk mengawal perbelanjaan secara kredit. Buat masa ini sahaja lebih RM24 bilion hutang kad kredit yang belum diselesaikan dan jumlah ini semakin meningkat.

Pada pandangan saya, langkah ini sangat baik. Penggunaan kad kredit hendaklah dikawal dan kemudahan ini digunakan untuk memudahkan urusan perbelanjaan dan perbelanjaan kecemasan sahaja. Gunakan kad kredit seolah-olah menggunakan tunai dan jumlah penggunaan hendaklah dibayar dengan penuh kepada bank pengeluar setiap bulan. Ini untuk mengelakkan hutang semakin meningkat kerana caj faedah yang dikenakan ke atas baki adalah tinggi dan akan membebankan pengguna dalam jangka masa panjang.

Beberapa tips yang  boleh dikongsikan disini ialah:
1) Kos cukai perkhidmatan ialah RM50 untuk sekeping kad. Anda boleh menjimatkan kos ini dengan memiliki 1 atau 2 kad sahaja.  (Maksimum RM100 setahun)
2) Jumlah penggunaan tidak melebihi 50% daripada gaji bulanan. Perbelanjaan ini pula adalah perbelanjaan rutin seperti petrol dan belanja runcit.
3) Pilih kad kredit yang mempunyai rebet atau diskaun untuk penjimatan tambahan.
4) Bayar jumlah penuh setiap bulan untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi.
5) Kad kredit bukan duit anda, gunakan seperti mana anda menggunakan kad debit atau duit tunai.

Rujuk: The Star, 16 November 2011.