Membentuk anak soleh

"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan katanya: Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan." (Ali-Imran: 38)
Ibu bapa tentunya berharap anak yang lahir menjadi seorang yang soleh dan solehah. Begitulah doa Nabi Zakaria yang memohon zuriat yang baik. Doa ini boleh dijadikan amalan harian.

Anak yang soleh adalah harta yang tidak ternilai. Hadis nabi ada menyebut bahawa anak soleh ialah antara tiga perkara yang tidak putus pahalanya kepada orang yang sudah meninggal dunia. Sama seperti sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat.

Asas pendidikan fardhu ain dan fardhu kifayah ternyata adalah landasan yang betul untuk membesarkan anak menjadi anak soleh. Tugas ibu bapa dalam memberi pendidikan ini bukan mudah. Namun ia berbaloi apabila anak soleh menjadi jaminan pahala setelah kita meninggal dunia.

Saranan kepada ibu bapa untuk melahirkan zuriat yang soleh adalah:

  1. Sentiasa berdoa untuk mendapatkan zuriat yang soleh. Amalkan doa Nabi Zakaria. Walaupun anda belum berumahtangga, doa ini boleh diamalkan sebagai persediaan melahirkan anak yang soleh.
  2. Menanamkan akidah yang mantap dalam diri anak-anak sejak dari kecil. Pada usia bawah 6 tahun, minda anak-anak seumpama span yang menyerap maklumat. Jadi berikan maklumat yang betul tentang keesaan Allah dan ketuhanan. 
  3. Memberi penekanan terhadap tuntutan ibadah terutamanya ibadah khusus seperti solat. Islam menggalakkan anak-anak solat pada umur 7 tahun. Kemudian, akan dirotan pada umur 10 tahun jika tidak dapat menunaikan ibadah ini. Perhatikan langkah demi langkah yang disarankan agama dalam mendidik anak untuk solat. Kerana solat itu tiang agama. 
  4. Sentiasa mengingatkan anak-anak tentang akhlak yang baik. Akhlak yang terpuji adalah contoh peribadi muslim yang cemerlang. Semua orang suka dan sayang kepada insan yang berakhlak mulia. Elok budi bahasanya.
  5. Memberi makan daripada sumber yang halal. Ini termasuk sumber pendapatan yang halal, tiada rasuah atau subahat. Serta sumber makanan yang baik. Tidak rosak, beracun atau tidak bermanfaat. 
Akhlak yang mulia adalah jaminan timbangan yang lebih berat di akhirat sepertimana disebut dala hadis:
"Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia." (Riwayat Abu Daud)
Satu lagi doa yang diajarkan dalam Al-Quran untuk mendapat zuriat yang baik adalah seperti berikut:
"Dan mereka yang berkata, wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Al-Furqan: 74) 


(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Mei 2015 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kepentingan Faraid - Pembahagian pusaka untuk orang Islam

Kes Tuntutan Harta Pusaka Tan Sri Syed Kechik, bernilai RM400 juta

Membuat tatu haram bagi orang Islam