Kalau dahulu tidak ramai yang membincangkan tentang wasiat dan harta
pusaka secara terbuka. Ia isu sensitif. Masyarakat Melayu yang
mementingkan budaya dan adat terutamanya mempunyai tanggapan bahawa ahli
keluarga tidak menghormati orang yang meninggal dunia dan dituduh ingin
membolot harta. Statistik harta yang dibekukan semakin meningkat
sepertimana dilaporkan pada tahun lalu sebanyak RM42 billion harta orang
yang telah meninggal dunia masih lagi belum diagihkan kepada waris.
Harta ini termasuk wang tunai, hartanah dan pelbagai jenis harta pusaka.
Pihak kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan
waris hadir ke pejabat yang berkaitan untuk menguruskan harta pusaka
ahli keluarga mereka. Apa yang berlaku ialah mereka tidak tahu daripada
mana hendak bermula dan kurang kerjasama di kalangan waris.
Apa yang boleh kita lakukan supaya fenomena ini dapat diperbaiki?
Bagaimana kita hendak memastikan bahawa ahli keluarga mendapat manfaat
daripada harta yang dikumpulkan semasa hidup?
Menulis wasiat adalah jalan yang baik. Wasiat ialah suatu dokumen
yang mengandungi arahan dan pesanan kepada waris dalam urusan mentadbir
harta pusaka si mati. Bagi orang Islam, menulis wasiat amatlah
digalakkan. Ia juga amat membantu dan boleh digunakan untuk mendapatkan
Geran Probet (Surat Kuasa bagi harta pusaka orang yang menulis wasiat)
di Mahkamah Sivil. Ini akan memudahkan waris dan pentadbiran harta
pusaka akan lebih teratur.
Inginkan Harta Yang Diberkati?
Kenapa saya perlu tulis Wasiat?
Orang ramai amat digalakkan menulis wasiat. Persoalan yang selalu diajukan ialah kenapa?
1) Jika saya belum berkahwin, saya perlu menulis
wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) harta pusaka saya supaya saya
tidak membebankan ibu bapa dan saudara terdekat saya. Saya juga boleh
membuat sedekah jariah daripada sebahagian harta pusaka saya.
2) Jika saya telah berkahwin, tetapi belum mempunyai cahayamata,
saya perlu menulis wasiat untuk mengelakkan konflik diantara pasangan
saya dengan ibu bapa dan ahli keluarga saya yang lain. Proses
pentadbiran juga lebih mudah. Di samping itu, saya dapat memastikan
semua waris mendapat hak mereka dengan cara yang betul.
3) Jika saya telah berkahwin dan mempunyai anak,
saya perlu menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan penjaga
untuk anak saya yang masih di bawah umur 18 tahun. Saya boleh
mengarahkan penjaga yang bertanggungjawab untuk menggunakan harta pusaka
saya yang diwarisi oleh anak dengan sebaik mungkin dan mengelakkan
penyelewengan.
4) Jika saya berpoligami, saya perlu menulis wasiat
untuk mengelakkan konflik diantara kedua-dua keluarga saya dan melantik
pentadbir (Wasi) yang boleh dipercayai untuk mentadbir harta pusaka saya
agar hak semua waris saya iaitu isteri-isteri dan anak-anak saya dapat
diberikan dengan adil.
5) Jika saya mempunyai anak angkat, saya perlu
menulis wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya
sepertimana yang dibenarkan Syara’ iaitu tidak melebihi 1/3. Dengan
cara ini, kebajikan dan sara hidup anak angkat saya terutamanya mereka
yang dibawah umur akan terjaga dan tidak terbiar sahaja.
6) Jika saya tidak mempunyai anak lelaki, saya perlu
menulis wasiat untuk melantik pentadbir (Wasi) dan mengelakkan konflik
di kalangan ahli keluarga saya iaitu pasangan dan anak perempuan saya
dengan ahli keluarga yang lain seperti ibu bapa dan saudara kandung
saya. Saya juga boleh memastikan hak mereka terjaga dan diuruskan dengan
adil.
7) Jika saya berhutang, saya perlu menulis wasiat
untuk memastikan hutang saya dijelaskan dengan menggunakan harta pusaka
saya terlebih dahulu sebelum diagihkan.
8) Jika saya mempunyai perniagaan, saya perlu
menulis wasiat untuk memberi arahan dan panduan kepada waris dan juga
rakan kongsi saya berkenaan pengurusan saham dan pemilikan lain dalam
perniagaan saya. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan penyelewengan
oleh rakan kongsi dan memastikan hak waris saya kepada pegangan di dalam
perniagaan adalah terpelihara.
9) Jika saya mempunyai banyak harta, saya perlu
menulis wasiat untuk memudahkan agihan harta pusaka kepada waris dengan
memberi panduan yang baik selagimana tidak bercanggah dengan Syari’ah.
Melalui wasiat juga saya boleh menyenaraikan semua aset dan hutang dan
menjelaskan kepada waris bagaimana cara hendak menguruskannya.
10) Jika saya seorang muallaf, saya perlu menulis
wasiat untuk memberikan sebahagian daripada harta pusaka saya kepada
ahli keluarga yang bukan Islam seperti ibu bapa kandung dan saudara
kandung saya. Islam membenarkan Wasiat kepada bukan Islam (iaitu bukan
waris) untuk menerima tidak melebihi 1/3 harta pusaka. Islam tidak
menghalang hubungan muallaf dengan ahli keluarga malahan menggalakkan
berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Inilah sebab utama penulisan wasiat. Orang yang menulis wasiat ialah
orang yang bijak kerana mengingati mati. Apabila kita mengingati mati,
maka kita akan membuat perancangan supaya kehidupan kita di dunia ini
tidak sia-sia dan apabila mati, tidak pula memberikan beban kepada waris
yang masih hidup. Di samping itu juga, kita boleh membuat pelaburan
akhirat melalui sedekah jariah dan ini menjadi pencen kubur, kehidupan
di akhirat kelak.
Wallahu'alam.
Rujuk sini, untuk perkhidmatan penulisan wasiat.
Jumaat, 20 Januari 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)






0 pandangan bernas:
Catat Ulasan