Realiti - Tiada Wasiat dan Pertikaian Keluarga

Petikan akhbar yang saya kongsikan kali ini amat relevan dengan realiti semasa dan menguatkan lagi sebab kenapa perlu ada wasiat. Wasiat adalah kunci untuk pentadbiran harta pusaka yang mana pewasiat akan melantik siapa yang layak dan dipercayai untuk menguruskan harta pusaka beliau setelah meninggal dunia.

Isu perlantikan Wasi haruslah menjadi keutamaan bagi individu yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, waris-waris yang bukan seibu sebapa. Hak mereka tidak boleh dinafikan sebagai anak kandung. Dalam kes Arwah Syed Kecik, anak beliau daripada isteri pertama tetap berhak daripada segi Faraid.

Dengan jumlah aset bernilai RM400 juta, bagaimanakah ia akan diuruskan dengan efektif dan dapat dimanfaatkan kerana pertikaian antara waris tidak dapat diselesaikan dengan baik. Ini tentunya akan mengambil masa yang panjang.

Petikan asal daripada Bernama. 7 Julai 2010

..................................

Pertikaian Berhubung Harta Syed Kecik Didengar Pada 13 Ogos

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kes perebutan anggota keluarga Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary sebagai pentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pada 13 Ogos.

Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinather menetapkan tarikh itu semasa dalam kamar selepas membenarkan permohonan oleh anak tunggalnya, Syed Gamal untuk menarik balik usahanya untuk menolak saman pemula oleh adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Syed Gamal, 45, kini pemilik sebuah siber kafe, merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah. Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun.

Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, adalah anak Syed Kechik dengan seorang lagi isterinya, Puan Seri Sofiah Moo Abdullah. Mereka merupakan pengarah Syed Kechik Holdings Sdn Bhd (SKH).

Syed Gamal telah memaklumkan mahkamah melalui surat dua hari lalu bahawa beliau menarik balik permohonan itu tetapi tidak memberikan alasan berbuat demikian, kata peguam Datuk N.Vijay Kumar yang mewakili adik perempuannya.

Syed Gamal diperintah membayar RM6,500 sebagai kos guaman kepada mereka dalam tempoh 14 hari.

Pada 13 Ogos, mahkamah akan mendengar saman pemula yang difailkan oleh SKH dan dua adik perempuannya pada 9 Nov tahun lalu terhadap Syed Gamal.

Dalam respons kepada satu kenyataan akhbar oleh Syed Gamal berhubung kes itu, Sharifah Zarah hari ini mengeluarkan satu kenyataan melalui peguamnya yang menyatakan bahawa tidak dipertikaikan bahawa Syed Gamal merupakan benefisiari harta itu.

Tetapi beliau perlu membenarkan mahkamah membuat keputusan dan bukan dengan mengeluarkan kenyataan akhbar dan menarik balik perkara itu di saat-saat akhir, katanya.

Sharifah Zarah berkata terdapat perbezaan antara harta arwah bapa mereka dan SKH kerana semasa kematiannya tahun lepas, Syed Kechik tidak memegang sebarang ekuiti dalam SKH.

Sebarang saham dalam syarikat milik Allahyarham Syed Kechik, dalam sebarang keadaan, hanya boleh dipindahkan kepada pentadbir hartanya dan bukan orang lain, mengikut Memorandum dan Artikel Persatuan SKH, katanya.

Beliau berkata Syed Gamal diberikan setiap peluang untuk memohon kepada mahkamah untuk dilantik sebagai pentadbir syarikat tetapi beliau secara sukarela menarik balik permohonannya untuk dilantik sebagai pentadbir bersama.

Dalam saman pemula mereka, kedua-dua adik perempuannya menuntut satu pengisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam harta SKH sehingga selesai pentadbiran dan pengagihan harta bapa mereka.

Mereka memohon satu perintah untuk menghalang Syed Gamal atau ejennya daripada akses atau masuk campur dengan harta-harta, rekod-rekod, akaun dan hal ehwal syarikat.

Mereka juga memohon satu perintah bagi menghalang Syed Gamal dari masuk campur untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dan kuasa-kuasa mereka sebagai pengarah SKH dan semua hal ehwal korporat yang lain termasuk pemindahan dan penjualan saham SKH.

Pada 15 Jan, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga saman pemula itu diputuskan Mahkamah Tinggi Sivil.

Syed Gamal memperoleh injunksi ex-parte daripada Mahkamah Syariah pada 14 Sept tahun lepas untuk menghalang 44 peratus sahamnya dalam syarikat itu daripada dijual atau dicairkan.

Kemelut keluarga itu bermula selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lepas, pada umur 81 tahun, tanpa meninggalkan wasiat.

Allahyarham adalah bapa mentua kepada pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, hartawan terkaya Melayu dan disenaraikan sebagai tokoh kelapan terkaya di negara ini.

-- BERNAMA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah