RM42 billion aset beku melibatkan sejuta kes harta pusaka si mati. Utusan Malaysia, 31 Mac 2011.
Bangunan apa yang boleh dibina? Perniagaan apa yang boleh diusahakan? Fakir miskin mana yang boleh dibantu untuk keluar daripada beban hidup yang sukar? Hakikatnya ini semua tidak boleh dilaksanakan kerana RM42 billion itu adalah milik orang yang telah meninggal dunia, dan aset dibekukan kerana tidak boleh diagihkan kepada waris ataupun tidak dituntut oleh waris. Dari segi ekonomi, ramai yang rugi kerana tidak mendapat manfaat daripada aset yang beku ini.
Kenapa ini berlaku? Ada beberapa faktor utama yang menyebabkan isu ini terjadi:
- Waris tidak tahu berkenaan harta yang dimiliki oleh simati
- Tidak tahu bagaimana hendak memulakan urusan pentadbiran harta pusaka ahli keluarga
- Waris sibuk dengan urusan masing-masing dan berpendapat tiada kepentingan untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka secepat mungkin
- Si mati tidak meninggalkan wasiat untuk memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.
- Proses undang-undang yang perlu dipatuhi dan mengambil masa yang panjang sekiranya terdapat isu-isu seperti tiada persetujuan di kalangan waris
- Pihak berwajib seperti ARB tidak dapat mengesan benefisiari bagi harta pusaka yang perlu diagihkan
- Persepsi dikalangan masyarakat tentang pembahagian harta pusaka yang perlu diselesaikan segera. Waris yang terkehadapan mungkin dituduh ingin membolot harta si mati.
- Struktur aset si mati yang semakin kompleks dengan wujudnya aset-aset kontemporari seperti saham syarikat, aset di luar negara dan instrumen kewangan lain.
- Mendapat maklumat yang kurang jelas daripada pihak yang tidak berautoriti, contohnya 'cakap-cakap orang'
- Kes waris bertindih yang menyukarkan lagi proses pembahagian harta pusaka.
- Diri sendiri : Mula menilai semula kedudukan aset semasa dan merancang untuk memudahkan proses pembahagian harta pusaka selepas kematian. Sebagai contoh, mengemaskini rekod aset dan hutang, memaklumkan kepada waris terdekat atau orang yang dipercayai tentang maklumat ini, menulis wasiat untuk melantik Wasi. Sila klik sini untuk maklumat ringkas tentang Wasi.
- Waris : Mulakan perbincangan di kalangan semua waris, usahakan pertemuan untuk melantik pentadbir yang akan memohon surat kuasa daripada Pejabat Tanah bagi pusaka kecil atau Mahkamah Tinggi bagi harta pusaka melebihi RM2 juta. Selain itu, boleh juga menyemak di ARB sekiranya si mati ada membuat Wasiat semasa hidupnya. Semak juga dengan institusi kewangan lain seperti KWSP dan Tabung Haji.
- Penama : Bagi orang Islam, penama harus faham tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah bagi pihak waris-waris si mati yang mana aset mestilah diagihkan kepada waris mengikut hukum Faraid. Penama juga harus mengambil tindakan untuk membuat tuntutan di insitusi seperti KWSP. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga melaporkan RM4billion tidak dituntut. Sila rujuk sini. Ahli KWSP yang telah mempunyai baki melebihi RM5,000 boleh melantik penama untuk memudahkan pengeluaran selepas kematian.
- Badan-badan kerajaan : Menyedari kepentingan ini, pelbagai pihak berwajib seperti KWSP, ARB dan kerajaan menjalankan kempen-kempen untuk menggalakkan orang ramai memahami proses sebenar tuntutan harta pusaka.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk laman web Amanahraya Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Moreclass.






0 pandangan bernas:
Catat Ulasan