Rabu, 4 Mei 2011

Kes Tuntutan Harta Pusaka Tan Sri Syed Kechik, bernilai RM400 juta

Fakta Kes Tuntutan Harta Pusaka Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed
Syed Kechik ialah pengasas Yayasan Syed Kechik, telah meninggal dunia kerana sakit tua. Allahyarham berumur 81 tahun dan meninggal dunia tanpa sebarang wasiat. Nilai harta pusaka dianggarkan lebih RM400 juta.
Waris beliau ialah:
1) Syed Gamal, 46, anak lelaki tunggal dengan bekas isteri pertama, Zainab@ Eshah Abdullah.
2) Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 67, isteri kedua
3) Puan Sri Sharifah Zarah, 43, anak perempuan dengan isteri kedua
4) Puan Sharifah Munirah, 45, anak perempuan dengan isteri kedua

Kemelut bermula apabila Syed Gamal menuntut pentadbiran harta pusaka bersama dengan tiga waris yang lain. Manakala tiga yang lain ingin mengepikan beliau sebagai anak yang sah. Syed Gamal merupakan anak lelaki tunggal dan ditinggalkan dengan bekas isteri yang diceraikan semasa beliau berumur lima tahun.

Berikut adalah kronologi kes tuntutan harta pusaka:

10 April 2009
Tan Sri Syed Kechik meninggal dunia kerana sakit jantung. Beliau tidak meninggalkan sebarang wasiat. Harta pusaka dianggarkan bernilai RM400 juta.

14 April 2009
Syed Gamal mendakwa beliau adalah anak Tan Sri Syed Kechik yang sah.

14 September 2009
Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah injuksi ex-parte kepada Syed Gamal bagi menghalang penjualan atau mencairkan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.

15 September 2009
Puan Sri Sofiah, Puan Sri Sharifah Zaharah dan Sharifah Munirah memfailkan petisyen untuk memohon surat kuasa tadbir harta pusaka Tan Sri Syed Kechik kerana mereka ahli waris yang sah dan bapanya tidak meninggalkan sebarang wasiat. Permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil.

21 September 2009
Isteri si mati memfailkan tuntutan harta sepencarian bernilai RM 4 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2009 dan menamakan tiga orang yang lain sebagai defenden. Defenden ialah dua orang anak perempuannya dan Syed Gamal, anak tiri beliau.

9 November 2009
Saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Syed Kechik Holdings Sdn Bhd dan dua orang pengarahnya iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munirah bagi menghalang Syed Gamal masuk campur urusan pentadbiran syarikat.

11 November 2009
Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.

24 November 2009
Syed Gamal memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula oleh syarikat Syed Kechik Holdings dan dua orang pengarahnya.

15 Jan 2010
Mahkamah Tinggi memberi perintah injuksi interim (sementara) kepada syarikat SKH dan dua orang pengarahnya iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munirah bagi menghalang Syed Gamal mencampuri urusan pentadbiran syarikat SKH sementara menunggu penyelesaian permohonan mereka untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Syed Gamal  tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka bapa mereka.

21 April 2010
Syed Gamal memfailkan kaveat di Mahkamah Tinggi Sivil bagi menghalang tiga yang lain mentadbir harta pusaka bapa tanpa merujuk kepada beliau.

25 Mei 2010
Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Jun 2010 untuk keputusan memasukkan kaveat oleh Syed Gamal kepada tiga yang lain bagi tujuan menghalang pentadbiran harta pusaka bapa tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

27 Mei 2010 
Hakim Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 14 Jun 2010 untuk mendengar sekiranya kes pentadbiran harta pusaka Syed Kechik boleh diselesaikan di luar Mahkamah.

18 Jun 2010
Permohonan kaveat oleh Syed Gamal didengar di Mahkamah Tinggi bagi menghalang tiga yang lain menguruskan harta pusaka tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

28 Jun 2010
Semua waris gagal capai kata sepakat dalam urusan pentadbiran harta pusaka si mati. Perkara ini dimaklumkan oleh peguam di Mahkamah Tinggi.

7 Julai 2010
Syed Gamal menarik balik permohonan mengenepikan saman pemula.Beliau diarah membayar kos guaman RM6,500 kepada plaintif.

30 Julai 2010
Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Gamal mentadbir harta pusaka bersama tiga waris yang lain.
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membenarkan permohonan kaveat Syed Gamal bagi menghalang ketiga-tiganya daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

24 Ogos 2010
Hakim Mahkamah Tinggi menetapkan Syed Gamal tidak boleh mencampuri urusan syarikat Syed Kechik Holdings Sdn Bhd walaupun telah mendapat kebenaran mentadbir bersama pusaka bapanya.
Mahkamah juga membenarkan permohonan saman pemula pihak plaintif iaitu pengarah SKH dan mengarahkan Syed Gamal membayar kos guaman RM10,000.

13 Jan 2011
Mahkamah Rayuan menolak rayuan ibu tiri dan dua anak perempuannya untuk mengenepikan Syed Gamal menjadi pentadbir bersama harta pusaka Syed Kechik. Mereka diperintah membayar kos guaman sebanyak RM40,000 kepada Syed Gamal selaku responden.

20 April 2011
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa harta pusaka peninggalan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik ditadbir bersama oleh anak lelaki, Syed Gamal, ibu tiri dan dua adik tiri perempuan.
Mahkamah juga menolak permohonan isteri kedua dan dua anak perempuan Allahyarham untuk mendapatkan kebenaran rayuan.

Sumber: Petikan akhbar Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan