Merancang Untuk Generasi Akan Datang
Apakah harta yang paling berharga? Susah tak nak jawab soalan mudah ini? Rumah besar, kereta mewah, wang simpanan, barang-barang antik, barang kemas, koleksi unik dan bermacam-macam lagi simbol kekayaan dan harta. Tetapi apakah atau siapakah yang lebih berharga? Tentulah orang yang kita sayangi, isteri atau suami, anak-anak, ibu bapa dan sebagainya.
Hakikatnya, barang-barang dan segala kemewahan material tentu tidak berharga lagi sekiranya ia tidak dapat dimanfaatkan orang-orang yang kita sayangi setelah kita tiada lagi. Tidak salah untuk kita mencapai kemewahan asalkan ia dapat memberikan kesenangan kepada keluarga. Merancang kewangan untuk generasi seterusnya setelah kita tiada sama penting dengan aspek kewangan lain seperti pelaburan (wealth accumulation) dan perlindungan (wealth protection). Malahan ia amat penting untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.
Bila berbicara tentang wasiat atau harta pusaka, ramai yang mengelak dan jawapan klise yang saya terima ialah 'saya tiada harta pun nak wasiatkan'. Sedarkah kita tentang tanggungjawab untuk memastikan harta yang paling berharga (ahli keluarga) tidak menanggung beban akibat kita tidak merancang apabila kita sudah tiada nanti.
Menulis wasiat bukan semata-mata untuk mengagihkan harta tetapi yang paling utama ialah melantik Wasi (orang yang diamanahkan untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka), selepas kematian seseorang. Sistem perundangan di Malaysia dalam pentadbiran harta pusaka memperakui Wasi yang dilantik secara jelas, bertulis dan bersaksi. Dan ini akan memudahkan urusan pengagihan harta pusaka.
Bagi Muslim, ada lima peringkat dalam pengurusan harta pusaka iaitu:
1) Menyelesaikan urusan jenazah dan pengebumian
2) Menyelesaikan hutang-hutang dunia dan akhirat
3) Menyelesaikan harta sepencarian atau hibah
4) Menyelesaikan Wasiat
5) Mengagihkan harta pusaka kepada waris mengikut hukum Faraid
Menulis Wasiat adalah menjadi keutamaan bagi individu yang mempunyai hutang, simpanan dan suami atau isteri dan anak-anak. Alasan paling mudah untuk menulis wasiat apabila anda mula menabung untuk persaraan atau pendidikan anak-anak, atau seawal anda membeli rumah dengan pinjaman daripada institusi kewangan! Tidak perlu TUNGGU hingga jadi jutawan baru nak merancang harta pusaka.
Menarik kan? Nantikan nota saya selanjutnya tentang perancangan harta pusaka.
Ulasan
Catat Ulasan