Pengeluaran KWSP untuk pelaburan dalam Unit Amanah
Skim Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) memberi banyak manfaat kepada pencarum sebagai persedian persaraan. Caruman setiap bulan akan diuruskan oleh KWSP untuk mendapat pulangan tahunan. Rekod pemberian dividen setiap tahun sejak dari tahun 2004 menunjukkan tren yang amat sederhana:
Sumber: KWSP
Situasi ekonomi yang tidak menggalakkan pada tahun 2007 dan 2008 menyebabkan kadar dividen menurun lebih 20%. Lihat graf diatas, kadar inflasi lebih tinggi daripada dividen dalam tahun 2008. Pencarum perlu peka hakikat ini. Pelaburan yang dibuat oleh KWSP adalah lebih konservatif untuk melindungi simpanan ahli daripada risiko pasaran yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, KWSP memberi peluang kepada ahli mengeluarkan simpanan untuk tujuan pelaburan unit amanah. Berdasarkan statistik diatas, ini menunjukkan pulangan adalah pada kadar minima.
Apa yang boleh kita lakukan? Aspek perancangan kewangan menekankan bahawa kita perlu membuat pelaburan agar wang simpanan juga akan memberi pulangan yang berpatutan. Sejak awal tahun 2009, pasaran menunjukkan pemulihan dengan indeks Kuala Lumpur meningkat dari kadar 900+ kepada 1,100+ dalam bulan Ogos 2009. Pelaburan di pasaran saham memang berisiko tinggi dan memerlukan kaedah serta kawal selia yang berterusan, mungkin hampir setiap hari.
Manakala pelaburan dalam unit amanah pula berisiko sederhana hingga rendah mengikut portfolio dan untuk tempoh jangka masa yang lebih panjang seperti 3 hingga 5 tahun.Melihat kepada rekod dividen untuk simpanan KWSP, membuat pengeluaran daripada akaun untuk tujuan pelaburan unit amanah merupakan satu alternatif untuk menjana pulangan yang lebih baik.
Sedikit berkongsi maklumat, saya membuat pengeluaran pada bulan Jun 2009 memandangkan potensi di dalam unit amanah terpilih. Sehingga kini, rekod pelaburan saya menunjukkan pulangan lebih 10% dalam tempoh tidak sampai 6 bulan. Sebenarnya, saya mengambil peluang berdasarkan pencapaian pasaran yang semakin pulih dan meningkat.
Pelbagai jenis unit amanah yang boleh dipilih untuk tujuan pelaburan unit amanah melalui pengeluaran KWSP. Kita berhak membuat keputusan ini, tapi dapatkan nasihat dan cadangan daripada konsultan unit amanah yang bertauliah. Pandangan saya, strategi ini amat sesuai untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi daripada dividen KWSP buat masa ini.
Anda tidak pernah terlewat sekiranya bertindak pada masa yang sesuai dan membuat keputusan untuk melaksanakannya. Selamat membuat pelaburan!


Ulasan
Catat Ulasan