Amanah sebagai pemimpin

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendustai (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mendustai amanah-amanah kami sedang kamu mengetahui (salahnya) dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Al-Anfal: 27-28)
Kita sebagai manusia diberi amanah oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi. Berbuat kebaikan dan hidup dengan memberi manfaat kepada orang lain.

Sebahagian kita akan dipilih menjadi pemimpin. Pemimpin ini mempunyai amanah yang besar. Besar pula ganjarannya apabila seorang pemimpin memimpin dengan bijak, adil dan menentang kezaliman.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bermaksud:
"Berhati-hati kamu dengan penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan (maksiat) dan kejahatan (maksiat) membawa kepada neraka, seseorang itu berterusan dan bersungguh-sungguh pada menipu (berbohong) sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu (disisi Allah SWT)"
Rasulullah pernah berpesan kepada seorang sahabat yang bernama Abu Zarr. Pada ketika itu Abu Zarr bertanya tentang jawatannya. Sedangkan sahabat-sahabat yang lain telah dilantik menjadi pemimpin dalam banyak bahagian. Rasulullah bersadba kepada Abu Zarr:
"Wahai Abu Zarr! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari kiamat kelak kehinaan dan penyiksaan akan menimpa (mereka yang berjawatan) kecuali mereka telah mengambilnya dengan hak serta menunaikan setiap tanggungjawabnya." (Riwayat Muslim)
Pada zaman Khalifah Harun Ar-Rashid, seorang ulama yang sedang mengembala kambing di atas jabal rahmah berhampiran padang Arafah telah berkata kepada Khalifah yang ketika itu sedang menunaikan ibadah Haji.

"Wahai Harun Ar-Rashid! Aku hanya seorang pengembala kambing sahaja, maka aku sudah pasti akan ditanya oleh Allah tentang diriku dan kambing-kambing peliharaanku sahaja di akhirat nanti, sedangkan engkau yang dilantik menjadi khalifah maka engkau bukan sahaja akan ditanya di akhirat nanti tentang rakyat yang sedang berada di bumi Arafah pada hari ini, malah seluruh rakyat yang berada dibawah kepimpinanmu.

Jika engkau berjaya menunaikan amanah kepimpinan dengan adil, maka berjaya dan berbahagialah engkau di sana. Tetapi sebaliknya, jika engkau mendustai amanah ini dan melakukan kezaliman terhadap rakyatmu, maka celaka dan menderitalah engkau di dalam neraka."

Allah menjanjikan kebaikan dan keberkatan hidup buat pemimpin yang adil dan amanah. Maka laksanakan amanah itu dengan sebaiknya bermula daripada diri sendiri, rumah tangga, keluarga, masyarakat dan rakyat keseluruhannya.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat April 2015 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah