Zina membawa kerosakan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah Al-Isra':32)
Lily (bukan nama sebenar) berusia 16 tahun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh. Pelajar sekolah asrama ini melahirkan bayi di bilik asrama kemudian mengelar bayi itu di bahagian perut dan akhirnya menyebabkan kematian.

Ini kisah benar yang berlaku di sebuah sekolah di Lembah Klang. Pakar krimilogi (jenayah) menjelaskan bahawa Lily bertindak kejam dan mengambil tindakan di luar kawalan kerana ingin menutup kesalahan dirinya yang mengandung. Pada masa itu, Lily hanya berfikir cara bagaimana untuk menghapuskan bukti iaitu bayi yang baru lahir.

Lily mengandung akibat perbuatan zina. Walaupun mengikut perundangan sivil, mengandung di bawah umur dikategorikan sebagai jenayah rogol sama ada dilakukan secara paksa atau sukarela.

Islam telah mengingatkan umatnya agar jangan menghampiri zina. Perbuatan zina secara ringkasnya ialah bersekedudukan antara lelaki dan wanita yang tidak bernikah.

Pergaulan bebas di internet dan media sosial boleh mengundang bahaya dan akhirnya menyebabkan hubungan terlarang di alam realiti. Pakaian yang ketat, sendat dan menampakkan bentuk badan mengundang ghairah lelaki yang melihatnya. Didikan agama yang kurang sempurna dalam institusi kekeluargaan menjadikan anak-anak lemah imannya. Mudah terjebak dalam aktiviti sosial yang keterlaluan.

Ramai remaja menghadapi dilema dan masalah seperti Lily. Ada yang membuang anak di tandas atau longkang. Peritnya sebuah kehidupan yang tidak berlandaskan syariat.

Kesan zina amat meluas.

Individu yang melakukan zina terdedah kepada masalah kesihatan seperti risiko HIV dan AIDS. Melahirkan bayi tanpa penjagaan yang sempurna boleh menyebabkan si ibu mengalami komplikasi lain seperti pendarahan dan jangkitan kuman.

Individu hilang sifat malu dan wara' (menjaga diri daripada dosa). Ia membawa kepada dosa besar yang lain seperti membunuh.

Anak yang dilahirkan tidak dapat dinasabkan kepada bapanya. Hancur institusi keluarga dan masyarakat. Anak ini tidak berhak kepada harta pusaka dan nafkah. Anak perempuan tidak boleh berwalikan bapanya.

Emosi anak cedera. Akhirnya menyebabkan pelbagai lagi masalah dalaman diri seperti rendah diri, sifat pendendam dan berakhlak buruk.

Saranan Al-Quran untuk mengatasi zina antaranya:

Menutup aurat dengan sempurna khususnya bagi wanita dengan melabuhkan pakaian.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik). Maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 59)
Memberi nasihat dan peringatan yang baik kepada anak-anak dan keluarga.
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman, ia mengajar kamu mengambil peringatan mematuhinya." (An-Nahl: 90)
(Sumber: Siri Khutbah Jumaat MAIJ April 2015)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah