Haji yang mabrur
"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya: diantaranya ialah) makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajiban ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun dari sekalian makhluk)" (Ali-Imran: 97)Banyak perngorbanan yang dilakukan oleh jemaah Haji dalam menyempurnakan rukun Islam kelima. Haji yang mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
"Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Satu umrah dengan umarah yang lain adalah penghapus dosa dan Haji mabrur (diterima) amalannya, tidak dibalas baginya melainkan dengan syurga." (Riwayat Bukhari)Bagaimana mencapai Haji mabrur?
1. Ikhlas dalam menunaikan Haji sebagaimana dijelaskan oleh Imam Nawawi. Hendaklah Haji itu tidak bercampur dengan dosa dan riya' (berbangga-bangga).
2. Pergi Haji dengan sumber yang halal. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah SWT itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik." (Sahih Muslim)3. Mempelajari ilmu berkaitan ibadah Haji. Syeikh Mustafa Al-Zarqa' dalam buku fatwa hukum Haji menerangkan makna Haji yang mabrur.
"Hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam menherjakan kewajipan Haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunat-sunatnya, memperbanyakkan taat, ibadah, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap lapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqamah."
4. Menjauhi amalan-amalan tercela mahupun khurafat. Contoh amalan tercela ialah mengumpat, maki hamun, hasad dengki sesama manusia. Manakala contoh amalan khurafat ialah menanam batu di arafah, memotong kelambu kaabah dan mencari tiang jin.
Allah berfirman:
"(Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa, dan bertakwalah kepada-ku wahai orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)Tanda ibadah Haji diterima oleh Allah ada dijelaskan oleh Al-Hawwas di dalam kitab Bughyah Al-Mustarshidin bahawa:
Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadat Haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan menceburkan diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada orang lain, tidak pula berebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadat Hajinya tidak diterima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaannya sebelum mengerjakan Haji dengan mengekalkan perkara-perkara maksiat.
Kita diseru untuk berusaha mencapai Haji yang mabrur. Allah menyebut di dalam Al-Quran:
"(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hari dan pandangan." (An-Nur: 37)(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Oktober 2014 MAIJ)
"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."
Ulasan
Catat Ulasan