Nuzul al-Quran

"Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada malam (lailatul Qadr)." (Al-Qadr: 1)
Al-Quran ialah mukjizat agung Nabi Muhammad SAW. Ia akan kekal dilindungi Allah SWT sehingga hari kiamat. Tiada siapa dapat mengubah isi kandungannya kerana setiap hari ia dibaca dan kemudian dihafal oleh umat Islam.

Allah menyebutkan Al-Quran ini turun pada malam al-Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan. Begitulah istimewanya Al-Quran sehingga kita disarankan untuk membacanya dan mempelajari al-Quran.
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain." (Riwayat Bukhari)
Al-Quran diturunkan secara berperingkat bermula pada malam bulan Ramadhan. Ia dikenali sebagai Nuzul Quran. Menurut ulama antaranya As-Shaikh Mustafa Murad, penurunan Al-Quran berlaku dalam tiga peringkat.

1. Penurunan secara keseluruhan al-Quran dari sisi Allah ke Luh Mahfuz sebagaimana firman Allah SWT:
"Bahkan yang mereka dustakan itu ialah Al-Quran yang mulia yang tersimpan di Luh Mahfuz." (Al-Burj: 21-22)
2. Penurunan dari Luh Mahhfuz ke Baitul 'Izzah iaitu langit dunia.
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan membezakan antara yang benar dengan yang salah." (Al-Baqarah: 185)
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang penuh keberkatan sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran." (Al-Dukhan: 3)
3. Penurunan Al-Quran secara berperingkat dari Baitul 'Izzah ke dada Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun.
"Dan berkatalah orang-orang yang kafir mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) secara serentak; yang demikian itu (beransur-ansur) supaya kami perkuatkan hatimu dengannya dan kami membacakannya (Al-Quran) secara tartil." (Al-Furqan: 32)
Hikmah Al-Quran diturunkan secara berperingkat:

1. Memperkuatkan hati baginda Rasulullah SAW dalam menghadapi pelbagai urusan dengan wahyu yang berterusan.

2. Mentarbiah umat Islam yang semakin bertambah dan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan mereka.

3. Mudah untuk menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan senang diamalkan isi kandungannya yang terdapat di dalamnya hukum-hukum dan tuntutan.

Al-Quran mengandungi pengajaran dan panduan untuk umat manusia di dunia dan di akhirat, Kisah dan teladan di dalam Al-Quran memberi peringatan tentang keagungan dan keesaan Allah. Al-Quran tiada keraguan di dalamnya.
"Dan jika kamu masih ragu-ragu tentang kebenaran Al-Quran yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) maka cubalah kami kemukakan satuu surah yang seumpamanya dan datangkanlah ketua-ketua kamu selain daripada Allah jika kamu orang yang benar." (Al-Baqarah: 23)
Manusia membuat kajian demi kajian tentang kandungan Al-Quran seperti kenyataan yang dibuktikan dengan penyelidikan sains dan sejarah.

Amalkan pembacaan Al-Quran dan ambil hikmah daripadanya.
"Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua." (Al-Isra': 82)
Nota penulis:

Insan pertama yang mengajar saya huruf-huruf di dalam Al-Quran ialah bapa saya sendiri. Daripada mengenal huruf sehinggalah saya tamat mengaji Al-Quran semasa masih di sekolah rendah lagi. Tidak ternilai jasanya mengajar saya tentang Al-Quran dan sehingga akhir hayatnya masih lagi mengajarkan Al-Quran kepada golongan dewasa.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jul 2014 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah