Wanita didalam Islam
"Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati; ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan sambil ia berfikir), apakah ia akan memelihara anak dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamkan hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah, sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu." (An-Nahl: 58-59)Ayat diatas menggambarkan kedudukan wanita pada zaman Jahiliah, sebelum kedatangan Islam. Kelahiran bayi perempuan menyebabkan keluarga berdukacita dan berbelah bagi. Sama ada mahu ditanam hidup-hidup atau menerima cercaan masyarakat.
Islam yang datang menegaskan bahawa wanita dan lelaki sama sahaja, sempurna dan setara martabatnya. Kualiti takwa yang akan membezakan kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Malahan pada suatu tahap, Islam mengangkat darjat wanita soleheh sebagai perhiasan terbaik di dunia.
"Dunia itu adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah." (Riwayat Muslim)Dalam ayat yang lain, Allah SWT menyatakan bahawa kewujudan wanita adalah sama dengan lelaki. Tiada perbezaannya.
"Wahai umat Islam! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain), sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al-Hujjurat: 13)Islam menjaga hak wanita dalam perwarisan, kekeluargaan, pendidikan dan hak istimewa dari segi kebajikan. Malahan seorang ibu dan isteri mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.
Pada zaman Rasulullah SAW, wanita tidak dihalang daripada bekerja. Namun ada batas dan syaratnya, sesuai pula dengan kemampuan fizikal seorang wanita yang lazimnya tidak sekuat lelaki. Semasa perang, wanita bertugas sebagai penyedia makanan dan jururawat.
Maka, wanita boleh bekerja tetapi dalam linkungan syariat dan batasan yang ditetapkan oleh agama. Contohnya, menutup aurat jika berada di luar rumah dan menjaga akhlak sebagai wanita solehah.
(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Mei 2015 MAIJ)
"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."
Ulasan
Catat Ulasan