Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan dari berlakunya sesuatu yang tidak baik terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Al-Baqarah: 177) 
Selain berpuasa di bulan Ramadhan, umat Islam turut disyariatkan untuk  membayar Zakat Fitrah. Zakat fitrah adalah tanggungjawab individu dan wali. Dari Abdullah Ibnu Umar r.a katanya:
"Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, kadarnya satu gantang dari kurma atau satu gantang gandum, ke atas setiap seorang hamba yang merdeka, lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kalangan umat Islam dan diperintahkan supaya ditunaikan sebelum keluar untuk menunaikan solat (Hari raya)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita dituntut supaya menjaga hati dan amal ibadah di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dengan tuntutan menunaikan zakat fitrah. Zakat ini menghapuskan dosa dan menyucikan jiwa. Ia adalah wajib seperti yang disebut dalam ayat di atas.

Zakat fitrah ialah zakat yang dikeluarkan oleh setiap muslim dari hartanya sendiri untuk diberikan kepada orang yang berhajat melalui para amil zakat. Amalan ini menyucikan diri dari sikap bakhil dan menampung kekurangan dalam ibadah puasa.

Tempoh wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah bermulanya terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan hingga takbiratul ihram pertama solat hari raya. Sungguhpun begitu, kita digalakkan mengeluarkan zakat lebih awal untuk memudahkan agihan kepada golongan yang layak menerima zakat.

Menunaikan zakat fitrah ialah satu ibadah yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
"Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan ingatlah Allah amat mendengar lagi amat mengetahui." (At-taubah: 103)
Zakat membersihkan diri daripada sifat kedekut, mementingkan diri, terlalu cintakan harta dan sekaligus menanam sifat sayangkan anak-anak yatim dan orang susah.

Zakat berfungsi untuk memperkukuh sistem ekonomi Islam apabila sebahagian harta dapat diagihkan kepada golongan yang berhak. Ia dapat membantu golongan ini untuk meneruskan kehidupan dalam masyarakat dan memperbaiki taraf hidup mereka.
"Ibadah itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilakukan oleh perniagaan atau berjualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbolak-balik hati dan pandangan." (An-Nur: 37) 
(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Julai 2014 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik