Mukjizat Nabi Muhammad dalam peristiwa Isra' Mi'raj
"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmunya dan kekuasaan-Nya, dan tiadalah kami menjadikan pandangan pada malam Mi'raj yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia, dan demikian juga kami jadikan pokok yang dilaknat didalam Al-Quran dan kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran, maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau." (Al-Isra': 60)Peristiwa Isra' Mi'raj berlaku pada 27 Rejab apabila Nabi Muhammad diangkat ke langit untuk menyaksikan hal-hal yang ghaib. Antaranya balasan syurga dan neraka kepada manusia.
Salah satu kejadian yang dialami baginda ialah tercium bau yang harum semerbak. Baginda bertanya kepada Jibrail a.s. "Wahai Jibrail, bau apakah yang sangat harum itu?" Jibrail menjawab, "Itulah bau harum Mashitah, tukang sikat rambut anak firaun."
Semasa Mashitah menyikat rambut anak firaun, tiba-tiba sikat itu jatuh dan Mashitah berkata, "Dengan nama Allah, celakalah firaun."
Anak firaun mengadu kepada bapanya. Firaun bertanya kepada Mashitah, "Benarkah kamu berdua mempunyai tuhan selain aku?'"
"Sememangnya ada. Sebenarnya tuhan saya adalah juga tuhanmu iaitu Allah SWT dan kami rela mati daripada menyekutukan-Nya!" Jawab Mashitah.
Firaun berang dan memerintahkan Mashitah bersama suami dan anaknya dibuang ke dalam timah yang mendidih.
Mashitah membuktikan keimanan yang tinggi kepada keesaan Allah dan menjadi contoh kepada umat Muhammad.
Apakah itu iman?
Rasulullah SAW menerangkan bahawa iman itu ialah mengenal dengan hati atau membenarkan dengan hati terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Datangnya dari Allah SWT dan diucapkan dengan lidah iaitu pengakuan dua kalimah shahadat 'bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh-Nya. Mengamalkan seluruh anggota badan, sama ada ruhani atau jasmani secara berterusan (istiqamah) segala rukun dan alaman bersangkutan dengannya.
Ia dijelaskan dalam Hadis Nabi:
"Telah bersabda Rasulullah SAW: Iman itu ialah mengenal dengan hati, diucapkan dengan lisan serta beramal dengan rukunnya." (Riwayat At-Tabrani)
(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Mei 2015 MAIJ)
"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."
Ulasan
Catat Ulasan