Maal Hijrah - Menyambut tahun baru Islam
"Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya dia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang ma'mur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian dia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Nisa': 100)Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ke Madinah telah membawa kejayaan demi kejayaan kepada dakwah Islam. Kerajaan Madinah dibangunkan atas dasar persaudaraan kaum Ansar dan Muhajirin.
Dalam masa sepuluh tahun, syiar Islam telah berkembang luas. Tentera Islam mengalahkan kuasa besar seperti Rom Timur dan Parsi.
Hijrah yang dilakukan atas dasar takwa dan iman kepada Allah SWT akan memberi kebaikan dan manfaat kepada umat. Iman dan takwa itu berkait rapat dengan ilmu. Mereka yang ingin berjaya dunia dan akhirat haruslah bersedia untuk berkorban sama ada daripada segi masa, tenaga dan meninggalkan keluarga.
Rasulullah dan para sahabat yang berhijrah ke Madinah telah melakukan pengorbanan yang besar demi agama. Hijrah ini membawa kemenangan dan Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
"Sesungguhnya keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya, atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya." (Qaf: 37)Hijrah mendidik hati dengan sifat mulia seperti sabar, jujur, amanah dan pemaaf. Sifat mulia ini mendidik diri menjadi teladan kepada umat lain dan menjadi insan yang berakhlak.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itu orang-orang yang berjaya." (At-Taubah:20)Nota penulis:
(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Okt 2014 MAIJ)
"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."
Ulasan
Catat Ulasan