Menyambut bulan Ramadhan

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)
Bulan Ramadhan mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Allah memberi pahala berpuasa, pahala berganda untuk mereka yang solat dan melakukan ibadah sunat yang lain, serta turunnya malam Lailatul Qadr. Satu malam bersamaan seribu bulan.

Daripada segi rohani, puasa mendidik kita mengawal nafsu dan meningkatkan ketakwaan kepada Ilahi seperti yang disebut dalam ayat di atas.

Hadis Nabi bermaksud:
"Sesiapa yang menghidupkan (mengerjakan solat sunat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharap keredhaan Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang terdahulu."
Ibadat puasa telah disyariatkan sejak lama dahulu, walaupun caranya berlainan. Mereka yang berpuasa menahan nafsu daripada makan minum berlebihan, tidur siang yang berpanjangan, melakukan perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Puasa mengelakkan kita daripada terjebak dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki dan marah yang tidak terkawal. Bulan Ramadhan mendidik kita menjadi insan yang sabar dan berbuat kebaikan.

Tempoh sebulan ini seolah-olah persekolahan setahun sekali yang mendidik kita agar kembali ke jalan kebaikan dan terus istiqamah untuk sebelas bulan lagi sepanjang tahun.
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan membezakan antara yang benar dengan yang salah." (Al-Baqarah: 185)
(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah