Keistimewaan bulan Ramadhan

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaku, makan hendaklah  mereka itu memenuhi (segala perintahku) dan hendaklah mereka beriman kepadaku agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah: 186)
Rasulullah SAW sangat gembira dengan kehadiran bulan Ramadhan dan menyebut dalam satu hadis:
"Sesungguhnya telah datang kepadaku bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah SWT telah memfardhukan keatas kamu berpuasa, di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah menjauhkan dari kebajikan, justeru bulan yang mulia dilipat ganda ganjaran pahala khususnya bagi membersihkan segala doa serta mengembalikan fitrah akhlak manusia." (Riwayat Imam Ahmad)
Baginda juga bersabda:
"Islam didirikan diatas lima sendi, iaitu shahadah tiada sembahan yang hak selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan Haji dan puasa di bulan Ramadhan." (Riwayat Bukhari)
Keistimewaan bulan Ramadhan antaranya:

1. Masa diterima doa seperti dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah. Inilah masa yang mana doa akan dimakbulkan Allah khususnya menjelang berbuka puasa. Ia adalah ganjaran bagi orang yang ikhlas dan menjaga puasanya di siang hari.

Seorang sahabat Nabi bernama Anas bin Malik sentiasa berdoa menjelang berbuka puasa bersama dengan keluarganya. Beliau akan berdoa dan diaminkan oleh seluruh ahli keluarga.

2. Pengampunan dosa. Perkataan Ramadhan bererti panas yang sangat terik. Ulama' menjelaskan bahawa Ramadhan mampu membakar dosa-dosa kita seperti sabda Nabi:
"Dari Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menjadi pengampunan dosa-dosa selagi dia tidak melakukan dosa besar."
3. Ganjaran syurga bagi orang yang berpuasa. Sebuah pintu yang dikhususkan untuk orang yang berpuasa diberi nama 'Bab Ar-Rayyan'. Apabila pintu ini dibuka, kemudian akan diseru orang yang berpuasa di bulan Ramadhan. Setelah semua orang yang berpuasa telah masuk, pintu ini akan ditutup selama-lamanya dan berbahagialah mereka yang dapat masuk melalui pintu ini.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah