Membuat tatu haram bagi orang Islam

"Pada kesudahannya kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama, maka turutlah akan jalan itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara-perkara yang benar)." (Al-Jasiyah: 18)
Apakah itu tatu?

Tatu ialah perbuatan mewarnakan kulit termasuk dalam kategori merubah kejadian yang asal. Pelbagai teknik digunakan untuk melukis tatu pada kulit. Pada zaman moden ini, pelukis tatu menggunakan mesin khas untuk mencacah kulit dan memasukkan warna mengikut permintaan pelanggan.

Remaja kini menganggap tatu adalah sesuatu yang 'cool'. Walhal ia datang dengan pelbagai simbol yang mengelirukan dan adakalanya membawa maksud yang buruk. Oleh itu, Islam melarang perbuatan ini.

Selain daripada sebab-sebab syariat, tatu akan memberi masalah kesihatan kepada orang yang ditatu. Pembuangan tatu dikatakan lebih sakit berbanding membuat tatu pada asalnya.

Pengharaman tatu disebut dalam hadis Nabi:
"Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta rambut disambung, juga melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta ditatu." (Riwayat Bukhari)
Hukum ini terpakai untuk lelaki dan wanita. Fatwa Kebangsaan ke-86, pada tahun 2009 telah memutuskan bahawa membuat tatu adalah haram. Bagi sesiapa yang telah bertatu, hendaklah ia membuang tatu itu dan bertaubat nasuha.

Jika membuang tatu akan memberi kemudharatan kepadanya, maka ia dibenarkan untuk dibiar sahaja. Bagi mereka yang meninggal sebelum sempat dibuang tatunya, maka tidak mengapa. Hal ini dibenarkan agar tidak menyiksa si mati.

Larangan bertatu untuk umat Islam dibuat atas dasar berikut:

1. Hukum tatu jelas haram berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
2. Imam Nawawi dalam kitab Al-Manhaj fi Syarhi Al-Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum tatu adalah haram berdasarkan perkataan laknat dalam hadis di atas. Tempat yang ditatu itu juga menjadi najis.
3. Islam tidak memberatkan umatnya. Jika sesuatu perkara boleh mendatangkan kemudharatan, maka ia perlu dielakkan.
4. Banyak kaedah yang diperkenalkan untuk membuang tatu seperti rawatan laser.
5. Mereka yang bertatu tetapi menyesal dan bertaubat daripada perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkan dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat yang lain.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Mei 2015 MAIJ)

Nota penulis:

Salah seorang kenalan saya, Fatih (bukan nama sebenar) berasal daripada Sarawak. Kakaknya sudah memeluk agama Islam sejak belasan tahun. Lebih kurang lima tahun lalu, dia pula memeluk agama Islam. Alhamdulilah.

Mengikut adat dalam etnik nya di Sarawak, anak lelaki akan ditatu sebagai simbol kegagahan. Jadi dalam hal ini tatu tersebut telah lama dibuat, semasa dia masih kecil lagi. Oleh sebab sukar untuk membuang tatu itu, ia dibiarkan sahaja. Tempat tatu itu dilukis juga terlindung dari pandangan mata kasar.

Bagi remaja beragama Islam yang terikut-ikut dengan tren terkini besar kemungkinan tidak mempunyai pengetahun tentang pengharaman tatu. Ceteknya pendidikan agama dan pergaulan bebas dengan rakan sebaya membuatkan mereka terpengaruh dengan apa yang dilakukan rakan.

Ibu bapa harus memantau siapakah rakan-rakan anak dan sentiasa mengingatkan tentang syariat Islam dalam kehidupan.

"Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hargai air sebagai nikmat Allah yang menyuburkan kehidupan

Bersangka baik

Sucikan jiwa dengan Zakat Fitrah